Alkisah Syarikat A
Berikut adalah cerita fiksyen untuk menggambarkan permasalahan yang perlu dihadapi setiap kali kita ingin menyebarkan (deploy) aplikasi baru untuk pengguna tanpa teknologi cloud computing.
Syarikat A telah berjaya membangunkan aplikasi baru yang mereka yakin akan mengubah dunia tetapi mereka belum punyai infrastruktur untuk menyebarkan (deploy) aplikasi tersebut.
Konfigurasi
Syarikat A ingin memesan server tersebut daripada vendor B, tapi sebelum itu, perlu ditentukan dahulu konfigurasi server tersebut. Berapakah jumlah RAM diperlukan, CPU apakah yang sesuai dengan beban profail (load profile) aplikasi tersebut, berapa banyak simpanan yang akan digunakan.
Selain itu, perlu dipertimbangkan juga bagaimana aplikasi itu akan berkembang di masa depan. Bagaimana jika tiba-tiba aplikasi itu mendapat sambutan hangat dan mendapat sejuta pengguna baru dalam masa semalaman? Oleh kerana proses pemesanan akan mengambil masa beberapa minggu (bulan?), maka server tersebut perlu dikalis masa-depan (future proofing) supaya konfigurasi dipesan hari ini masih mencukupi untuk beban masa depan. Jadi kos asal konfigurasi tadi mungkin perlu digandakan untuk memilih konfigurasi yang lebih mahal. Selepas semua ini, syarikat A berjaya memesan server tersebut daripada vendor.
Pemasangan
Sesudah server yang dipesan siap dihantar ke data center syarikat A, server itu masih tidak boleh terus dihidupkan begitu saja dan siap untuk melayan aplikasi. Server itu perlu diusung ke rak server dan diletakkan bersama server-server lain. Wayar tenaga dan internet perlu disambung. Kemudian, apabila server telah berjaya dihidupkan, perlu dikonfigurasi pula sistem operasi (OS) tersebut dengan software yang diperlukan untuk aplikasi tersebut.
Masa untuk mengubah dunia!
Selepas semua proses itu selesai, maka aplikasi baru syarikat A sedia dilayan dari server baru tersebut dan seperti dijangkakan, aplikasi tersebut mendapat sambutan yang amat bagus! Tersangat bagus hinggakan pengguna dari negara-negara lain mula menggunakan aplikasi itu. Mereka perlu menahan waktu tunggu (waiting time) yang lebih lama berbanding pengguna lokal di negara syarikat A kerana pesanan mereka terpaksa merentas dunia sebelum sampai ke server baru syarikat A ini.
Komplikasi
24 jam berlalu dan tiba-tiba pengguna lokal di negara syarikat A tidak dapat mengakses aplikasi itu lagi. Locked. Bahkan bukan pengguna lokal sahaja, semua pengguna seluruh dunia tak dapat mengakses aplikasi itu. Setelah disiasat, rupa-rupanya ada influencer zaman itu (YouTube, Twitter, Facebook, Instagram masih belum wujud pada masa ini ya) telah menghantar telegraf ke peminatnya di seluruh dunia. Hasilnya semua future-proofing yang dirancang sebelum ni semua kelaut, tak cukup untuk menampung beban tiba-tiba dari penambahan pengguna-pengguna baru.
Kesimpulan
Pilihan syarikat A sekarang adalah untuk mengulang proses pesanan server tadi dan menunggu beberapa minggu untuk server baru itu pula sampai. Sementara menunggu itu syarikat A telah rugi berjuta-juta kerana kehilangan pelanggan dan semua pengguna aplikasi baru itu telah pun lari ke aplikasi yang dibangunkan syarikat B yang dikatakan lebih bagus dari aplikasi syarikat A.
TAMMAT.